HomeBeritaFasa Peralihan Monsun bermula 19 September

Fasa Peralihan Monsun bermula 19 September

CYBERJAYA: Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada 19 September 2023 dan berterusan sehingga November 2023.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Helmi Abdullah berkata, permulaan fasa itu menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 15 Mei lalu.

MET Malaysia berkata, semasa fasa tersebut, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir, yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat.

“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.

“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh itu, selain sentiasa peka dengan ramalan dan amaran yang dikeluarkan oleh MET Malaysia menerusi laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Hotline MET Malaysia di 1-300-22-1638.

Author

Pilihan Editor