KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mencadangkan Perikatan Nasional (PN) menggantikan UMNO yang didakwa menjadi ‘duri dalam daging’ terhadap pelbagai masalah dalam negara.
Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata jika gabungan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu enggan berbuat demikian, PN dan Pakatan Harapan (PH) boleh mempertimbangkan untuk memeterai perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) bagi memastikan pentadbiran negara berjalan lancar.
“Kalau boleh adakan satu perjanjian supaya mereka (PN) tidak ambil ahli Parlimen UMNO dan PN boleh buat CSA dengan PH atau sertai Kerajaan Perpaduan, gantikan UMNO yang mewakili orang Melayu.
“Masalah selesai, sudah tentu akan ada perbezaan antara PH dan PN tetapi kalau boleh diketepikan, lakukan demi kebaikan dan masa depan negara,” katanya seperti dilapor portal Free Malaysia Today (FMT), hari ini.
Mukhriz mendakwa ketidakstabilan politik kini berpunca daripada UMNO yang menimbulkan pelbagai isu.
Terbaharu, katanya, membabitkan keputusan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan membabitkan kes Yayasan Akalbudi, 4 September lalu.
“UMNO hanya ada 26 ahli Parlimen. Gugurkan mereka, ada lagi 118 kerusi termasuk Ahli Parlimen Muar mewakili MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
“Masih cukup untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Kerajaan Perpaduan mentadbir,” katanya.
Bagaimanapun, Mukhriz berkata, PN mesti dihalang daripada mengambil Ahli Parlimen UMNO yang dibimbangi bakal menimbulkan pelbagai masalah lain.
Bekas Ahli Parlimen Jerlun itu mendakwa tidak mustahil sekiranya lama kelamaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, turut dibebaskan.
“Isu ini memberi kesan tak baik di mata negara luar,” katanya.
Najib disabitkan bersalah pada Julai 2020 atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan RM42 juta dana SRC International.
Bekas Presiden UMNO itu mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos tahun lalu, selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya, disusuli Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman asal. – Berita Harian