LIMA pekerja dilaporkan maut akibat kejadian gondola terjatuh di sebuah pusat peranginan di Banjar Kedewatan, daerah Ubud, di Bali.
Susulan itu, polis giat menjalankan siasatan bagi semua aspek termasuk sekiranya wujud elemen kecuaian pihak pengurusan dan juruteknik.
Lapor Kompas, wujud kemungkinan pihak pengurusan dan juruteknik cuai dan gagal memeriksa dengan teliti keadaan gondola tersebut atau tidak melakukan penyelenggaraan secara berterusan.
“Mungkin juga terdapat kelemahan dalam keselamatan yang mana lokasi kejadian itu amat curam. Semua aspek ini perlu disiasat,” kata Ketua Polis Pesuruhjaya Ubud, Made Uder.
Tambah beliau, hasil siasatan mendapati kejadian itu dipercayai berlaku akibat wayar keluli gondola terputus sehingga menyebabkannya jatuh pada kecondongan 35 darjah.
“Ada saksi mendakwa insiden itu berlaku ketika lima mangsa menghampiri tempat perhentian di puncak, wayar keluli untuk menarik gondola terputus menyebabkan jentera itu dan mangsa tercampak dari landasan .
“Mereka menemukan mangsa dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah berhampiran gondola itu,” katanya.
Jelasnya, tiga wanita antara mangsa yang maut dalam kejadian.
Menurut beliau, pusat peranginan itu terletak di atas tebing dan perkhidmatan kereta kabel tersebut biasanya digunakan oleh tetamu dan pekerja untuk memasuki ke kawasan resort itu.