HomeHiburanHasil jualan Tiara Candy, Achey beli MPV jadikan van jenazah untuk kegunaan...

Hasil jualan Tiara Candy, Achey beli MPV jadikan van jenazah untuk kegunaan orang ramai

CYBERJAYA: Hasil keuntungan jualan gula-gula di aplikasi TikTok, pelawak Achey telah membeli sebuah kereta jenis MPV yang dijadikan sebagai van jenazah untuk kegunaan orang ramai secara percuma.

Achey atau Mohd Nasir Hamzah, 37, berkata sumbangan tersebut adalah daripada hasil sokongan netizen terhadap perniagaan anaknya, Nur Tiara Zinnirah iaitu Tiara Botol Candy.

“Ini adalah achievement daripada seorang anak yang bernama Nur Tiara Zinnirah Nasir Binti Abdul Haq ataupun dikenali sebagai Tiara.

“Alhamdulillah ini adalah achievement daripada korang support Tiara Candy untuk saya dan semua merasa hasilnya.

“Inilah dia sebuah MPV yang untuk Tiara ataupun untuk kita. Bismillahirahmanirahim,” Kata Achey dalam TikTok @Achey_kintangkintung.

Dalam pada itu, Achey turut memohon maaf jika van yang disumbangnya ini tidak memuaskan mana-mana pihak kerana harapannya sekadar dapat memudahkan urusan orang lain.

Malah, dia juga memaklumkan akan menyediakan set kain kafan percuma untuk keluarga yang kurang berkemampuan.

“Maaf sekiranya van jenazah ini kurang memuaskan, yang diharapkan dapat memudahkan kerana ianya percuma.

“Kepada waris yang kurang berkemampuan kami sediakan juga set kain kafan percuma,” ujarnya.

Tambahnya, walaupun MPV itu dibeli secara terpakai, dia percaya kenderaan tersebut mampu untuk membantu.

“Untuk cover perjalanan yang dekat Insya-Allah. Doakan kami dapat keluarkan van jenazah percuma lagi di kawasan yang memerlukan.

“Walaupun second hand kami percaya ianya membantu. Peti mayat belum siap.. Jadi belum boleh beroperasi lagi, Insya-Allah kami cuba secepat mungkin,” jelas Achey.

Sebelum ini, Tiara berjaya menjual sebanyak 3,000 pek gula-gula dalam masa dua jam ketika melakukan siaran langsung di akaun TikTok Achey.

Author

Pilihan Editor