PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang berusaha untuk memudahkan permohonan persijilan halal seawal 30 hari kepada sesuatu produk atau syarikat, sekiranya tiada sebarang masalah.
Penolong Pengarah Kanannya, Mohd Shahril Abd Samat berkata, kelulusan persijilan itu mungkin meningkat sehingga tempoh tiga bulan bergantung komitmen sesebuah syarikat.
Beliau berkata, Jakim menghargai ikhtiar mana-mana pihak yang memiliki persijilan halal, berbanding produk yang mengguna pakai istilah ‘Muslim friendly‘, ‘Dijamin halal‘ dan ‘Serve No Pork‘ yang dilihat masih belum menjamin kehalalan toyyiban.
“Kami bukan sahaja mengharapkan kejayaan mendapatkan logo (halal Jakim), tetapi kita harap untuk sustain (mengekalkan) logo tersebut sampai bila-bila. Setakat ini, syarikat yang paling lama sustain logo sejak 1969 adalah Ajinomoto,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pengumuman sijil halal bagi jenama teh premium, CHAGEE Malaysia, di pusat beli-belah Sunway Pyramid, di sini pada Isnin.
Pada majlis sama, Mohd Shahril berbesar hati menyampaikan sijil halal kepada CHAGEE Malaysia.
Mengulas lanjut, Mohd Shahril berkata, kebanyakan pemohon masih kurang memahami keperluan sebenar dalam persijilan halal.
Justeru katanya, Jakim akan memberi bimbingan kepada para pemohon yang mengalami masalah persijilan halal termasuk permohonan secara atas talian.
“Kami akan beri panduan secara terus sehingga berjaya, terutamanya kepada usahawan-usahawan mikro,” katanya.
Jelasnya, perkara yang menjadi keutamaan buat Jakim dalam menilai persijilan halal adalah seperti jenis-jenis dan asal-usul bahan serta pembuatan dalam sesuatu produk.
Tegasnya lagi, status halal sesuatu produk bukan hanya digunapakai untuk umat Islam, sebaliknya ia merupakan satu kepentingan buat semua manusia.
“Dari segi persijilan halal kita juga bukan berdasarkan agama dan bangsa, tetapi kita nak beri yang terbaik kepada manusia, supaya semuanya mendapat makanan dan minuman terbaik untuk keperluan masing-masing.
“Sebab itu wujud badan yang diiktiraf pada hari ini, yang memaklumkan tentang jaminan sesuatu produk atau premis makanan dijamin halal adalah dengan terteranya logo halal.
“Jika ada sijil halal, maka pihak premis wajib mempamerkan logo. Jika tak pamer menjadi satu kesalahan dan boleh buat aduan kepada pihak kami,” tambahnya.