GEORGE TOWN: Mentafsir al-Quran dengan sewenang-wenang seolah-olah mempermainkan kalam Allah SWT tidak boleh diterima sama sekali.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, pelakunya boleh didakwa di mahkamah kerana menghina agama Islam.
Menurutnya, bukan semua orang mampu menyelami maksud yang terkandung di dalam al-Quran kerana ia memerlukan individu yang memiliki kepakaran.
“Bagi melayakkan diri menjadi ahli tafsir al-Quran, seseorang perlu menghabiskan masa yang lama, mungkin sepanjang hayat untuk menguasai beberapa bidang ilmu termasuk keperluan menguasai selok belok Bahasa Arab daripada aspek nahu, saraf, balaghah dan ‘arudhnya.
“Persoalannya siapakah yang layak mentafsir kitab suci ini? Individu itu juga dikehendaki mengetahui ‘asbab nuzul’ iaitu konteks penurunan sesesuatu ayat supaya tafsirannya tidak menyimpang daripada maksud sebenar.
“Berdasarkan keterangan itu, kita tidak dapat menerima mana-mana individu, sama ada muslim atau bukan Islam, yang tidak memiliki kelayakan daripada sudut keilmuan mencukupi bagi mentafsirkan kitab suci ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Wan Salim berkata, al-Quran adalah wahyu terakhir dan muktamad yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad SAW dalam Bahasa Arab dan dinukilkan oleh perawi yang ramai dengan lafaz sama daripada generasi ke generasi sehingga zaman ini.
Menurutnya, tafsirnya pula adalah usaha menjelaskan maksud yang terkandung dalam ayat al-Quran itu.
“Al-Quran iaitu sebuah kitab hidayah Ilahi yang ‘memandu’ manusia ke jalan benar serta membimbing mereka ke arah kebahagiaan hidup di dunia serta akhirat.
“Khazanah ilmu pengetahuan yang tersimpan di dalam al-Quran adalah ibarat lautan tidak bertepi dan tidak pernah kering. Justeru, ia tidak boleh dikatakan tafsirannya sudah lengkap dan sempurna pada masa tertentu.
“Sebaliknya, ia sentiasa terbuka bagi ditafsir daripada semasa ke semasa menurut perkembangan ilmu pengetahuan yang dicapai akal manusia,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How dikatakan membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran susulan video tular, baru-baru ini.
Tindakan itu dianggap seperti sengaja menghina Islam memandangkan ahli parlimen berkenaan bukan Muslim, namun bertindak menafsirkan ayat di dalam al-Quran, sekali gus turut menyentuh perkara 3R (agama, raja, kaum).
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dipetik berkata polis akan merekod keterangan Howard dalam masa terdekat. – Harian Metro