HomeGlobalJumlah kematian akibat ribut Daniel meningkat 5,300

Jumlah kematian akibat ribut Daniel meningkat 5,300

JUMLAH kematian selepas banjir besar akibat ribut Daniel, dekat timur Libya meningkat kepada 5,300 orang.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Dalam Negeri Libya berkata, kira-kira 10,000 lagi mangsa dilaporkan masih hilang menurut sumber Bulan Sabit Merah Libya.

“Pasukan penyelamat tempatan sedang berusaha meneruskan pencarian individu yang hilang,” kata pegawai media kementerian itu, Mohamed Aboulmosha.

Mohamed turut menggesa campur tangan antarabangsa untuk membantu usaha menyelamat.

Isnin lalu, Majlis Presiden Libya membuat rayuan antarabangsa untuk memberi bantuan kepada kawasan yang dilanda banjir di negara itu.

Antara bandar yang terjejas akibat banjir tersebut termasuk Benghazi, Bayda, Al Marj dan Soussa.

Ketua kerajaan perpaduan Libya yang berpangkalan di Tripoli, Abdul Hamid Dbeibeh mengisytiharkan semua kawasan yang terdedah kepada banjir sebagai zon bencana dan mengumumkan tiga hari berkabung.

Terdahulu, sumber Bulan Sabit Merah Libya memberitahu Agensi Anadolu bahawa, kebanyakan mangsa mati akibat lemas atau dihempap runtuhan bangunan kediaman.

Bulan Sabit Merah Libya turut kehilangan empat kakitangannya semasa membantu dalam usaha menyelamat, menurut pegawai itu.

Author

Pilihan Editor