HomeBeritaMahkamah & Jenayah'Kalau kita genius sekali pun dalam bab agama, jangan kita perlekeh orang...

‘Kalau kita genius sekali pun dalam bab agama, jangan kita perlekeh orang lain’

 

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini sebulat suara menolak rayuan penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin terhadap sabitannya yang didapati bersalah menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, 11 tahun lalu.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail, bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin sebulat suara menolak rayuan sabitan Wan Ji selepas mendapati ia tidak mempunyai sebarang merit.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan rayuan Wan Ji terhadap hukuman dengan memerintahkan beliau hanya dipenjara sembilan bulan seperti diputuskan Mahkamah Sesyen pada 9 April 2018, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menambah hukuman itu kepada setahun.

Hukuman penjara itu diperintahkan berkuat kuasa hari ini.

Berhubung isu Akta Hasutan 1948 yang didakwa oleh perayu (Wan Ji) sebagai tidak berperlembagaan dalam rayuannya, Hadhariah dalam penghakimannya berkata, tidak ada apa-apa yang salah mengenai undang-undang itu.

Beliau berkata, kebebasan bersuara bukan hak mutlak bagi seseorang bercakap dengan sesuka hati kerana masih ada batas yang perlu dijaga.

“Kebebasan bersuara tidak bermaksud kita boleh bercakap sesuka hati. Perkataan yang dikatakan dalam hantaran Facebook memang tidak sesuai.

“Kalau (hendak) beri nasihat agama cakaplah dengan perkataan yang baik-baik, jangan guna perkataan yang tidak sesuai terutama terhadap Sultan Selangor kerana sekarang ada 3R (agama, royalti, perkauman). Hati-hati dengan perkara sensitif ini.

“Jangan menyinggung perasaan orang. Tunduk, amalkan sikap tunduk. Lagi pandai, lagi genius, lagi tunduk… Jangan memperkecilkan orang, kalau kita ini genius sekali pun dalam bab agama, jangan kita meperlekehkan orang lain,” katanya.

Dalam prosiding hari ini, Wan Ji diwakili peguam Muhammad Faiz Fadzil manakala Timbalan Pendakwa Raya How May Ling bertindak bagi pihak pendakwaan selaku responden.

Pada 9 Julai 2019, Mahkamah Tinggi Shah Alam meminda hukuman daripada sembilan bulan penjara yang diputuskanMahkamah Sesyen pada 9 April 2018, kepada setahun penjara selepas mempertimbangkan rayuan silang pihak pendakwaan.

Wan Ji, didakwa pada 10 September 2014, menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook (FB) dengan nama wanji.attaaduddi.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di sini, pada 10 pagi, 5 November 2012.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 iaitu denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Untuk kesalahan kedua dan seterusnya, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan. – Berita Harian

Author

Pilihan Editor