HomeBeritaPolitikKemenangan di Pulai, Simpang Jeram terjemah aspirasi perpaduan PH-BN

Kemenangan di Pulai, Simpang Jeram terjemah aspirasi perpaduan PH-BN

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) Johor dapat menterjemahkan aspirasi perpaduan Kerajaan Madani selepas Pakatan Harapan (PH), semalam berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK).

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pemimpin-pemimpin UMNO yang diketuai Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga sentiasa berusaha membantu dua calon PH pada pilihan raya itu.

“Terima kasih kepada Presiden BN serta barisan kepimpinan BN Johor diterajui Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang tidak lekang berusaha memperjuangkan kestabilan kerajaan melalui kempen berterusan dan menggerakkan jentera BN membantu kedua-dua calon ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kemenangan itu bukti apa yang dilaksanakan Kerajaan Pusat hari ini bukan sekadar retorik sebaliknya kesungguhan untuk mengenepikan perbezaan politik.

“PH-BN Johor berjaya lalui ujian ketiga ini atas landasan perpaduan kerana apa yang dicanangkan dan dilaksanakan di peringkat Kerajaan Pusat bukan sekadar retorik tetapi kesungguhan untuk mengenepikan perbezaan politik demi sebuah kerajaan yang stabil untuk membawa kemakmuran.

“Keyakinan pengundi terhadap dua wakil rakyat ini juga perlu diterjemahkan oleh kerajaan dengan melipat gandakan segala usaha untuk menangani apa juga isu komuniti, ekonomi dan kehidupan yang dihadapi rakyat,” katanya.

Dalam PRK semalam, calon PH Suhaizan Kaiat dan Nazri Abdul Rahman, masing-masing memenangi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor