HomeGlobalKenaikan harga beras India jejas dunia

Kenaikan harga beras India jejas dunia

NEW DELHI: Institut Penyelidikan Dasar Makanan Antarabangsa (IFPRI) memberi amaran bahawa peningkatan harga komoditi utama seperti beras, gula dan bawang di India akan mengakibatkan inflasi eksport makanan dunia.

India merupakan pengeksport beras terbesar dunia dan menguasai 40 peratus pasaran, manakala negara itu juga merupakan pengeksport kedua terbesar gula dan bawang, lapor portal BBC.

Kenaikan Indeks Harga Beras Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) sebanyak 2.8 peratus pada Julai lalu didorong oleh kenaikan harga pelbagai beras tempatan selepas India melarang eksport beras ke luar negara.

Menurut FAO, ia mengekalkan ‘unjuran menaik’ ke atas harga beras dari wilayah-wilayah lain.

“Sejak larangan itu diumumkan akhir bulan lalu, harga beras di Thailand meningkat 20 peratus,” kata felo penyelidik kanan di IFPRI, Joseph W Glauber.

Peningkatan harga beras memberi kesan negatif terutamanya kepada negara-negara miskin, manakala jaminan makanan di 18 ‘titik panas kelaparan’ yang dikenal pasti oleh FAO dan Program Makanan Sedunia (WFP) menjadi semakin buruk.

Beras adalah diet ruji berjuta-juta penduduk di seluruh Benua Asia dan Afrika yang mana India adalah pembekal utama kepada pasaran itu.

Menurut IFPRI, 42 negara di Asia dan kawasan pinggir Sahara di Afrika mengimport 50 peratus beras masing-masing dari India, manakala import beras di beberapa negara lagi mencecah 80 peratus.

Malah, permintaan beras India tidak boleh digantikan dengan mudah oleh negara pengeksport utama lain seperti Vietnam, Thailand atau Pakistan.

Bagaimanapun, kenaikan harga makanan global tidak boleh dipersalahkan semata-mata atas tindakan India.

Penamatan Inisiatif Bijirin Laut Hitam susulan pencerobohan Russia ke atas Ukraine dan keadaan iklim ekstrem dunia menjadi faktor utama lain yang menyumbang kepada masalah berkenaan.

Author

Pilihan Editor