KAJANG: Bekas penulis blog Papagomo didenda maksimum RM2,100 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah dua pertuduhan mencederakan dan menyebut perkataan kurang sopan terhadap Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman empat tahun lalu.
Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli mengenakan hukuman denda itu terhadap Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 40, selepas mendapati pihak pembelaannya gagal menimbulkan keraguan diakhir kes pembelaan terhadap dua pertuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan mendatangkan cedera, Papagomo didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Syed Saddiq, 31, di bahagian leher dan bahu, di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian di sini pukul 11.05 pagi pada 16 Februari 2019 yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, bagi satu lagi pertuduhan papagomo didakwa dengan niat menyebut perkataan kurang sopan dan menghina terhadap Syed Saddiq iaitu “kau bodoh” dimana keamanan mungkin terganggu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum RM100 jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan mendatangkan cedera tertuduh didenda RM2,000 manakala bagi pertuduhan menyebut perkataan kurang sopan tertuduh didenda RM100.
Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda RM2,000 itu, dia boleh dipenjara selama tiga bulan sementara jika tertuduh gagal membayar denda RM100 dia boleh dipenjara sehari. Tertuduh membayar denda berkenaan.
Sejurus selepas mengenakan hukuman itu terhadap tertuduh, Majistret Muhammad Noor Firdaus sempat mengingatkan tertuduh yang berada dikandang dan orang awam yang berada di galeri dengan memetik sepotong ayat hadis.
“Seorang Muslim (yang sempurna Islamnya) ialah (apabila) seseorang Muslimin (yang lain) selamat daripada (keburukan) lidahnya dan tangannya.
“Mahkamah dimaklumkan tertuduh menuntut di sebuah sekolah pondok, mungkin ini adalah masa yang tepat untuk saya mengingatkan diri sendiri dan semua tentang apa yang telah ditinggalkan kepada kita,” kata Majistret itu.
Terdahulu dalam penghakimannya, Majistret Muhammad Firdaus berkata hukuman yang dijatuhkan selepas mahkamah mengambil kira fakta kejadian dan kecederaan yang dialami mangsa.
“Meskipun perbuatan (mendatangkan cedera) tersebut hanya melibatkan beberapa pergerakan kecil jari, namun telah mendatangkan rasa sakit kepada saksi mangsa (Syed Saddiq) dalam kes tersebut. Bagi pertuduhan percakapan kurang sopan perbuatan itu membawa “breach of peace” (menganggu gugat keamanan),” kata Majistret itu.
Semasa rayuan terhadap hukuman, peguam Nik Saiful Adli Burhan mewakili Wan Muhammad Azri memohon anak guamnya dikenakan hukuman berbentuk denda yang paling rendah atas alasan tertuduh kini hanya peniaga dan pendapatannya tidak menentu.
Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim memohon hukuman sewajarnya bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
“Mahkamah perlu mengambil kira tertuduh merupakan “public figure” (orang yang dikenali masyarakat) dan sepatutnya memberi contoh baik kepada umum,” kata Norfarhanim.
Dalam perbicaraan yang berlangsung sejak Februari lalu, seramai 11 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan termasuk Syed Saddiq manakala enam saksi pembelaan termasuk Papagomo dipanggil memberi keterangan.
Pada 16 Februari 2019, bekas Menteri Belia dan Sukan itu membuat laporan mendakwa dicekak dalam satu insiden sebaik selesai proses penamaan calon di Dewan Sri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
Pada 21 Februari tahun sama iaitu sehari selepas dibebaskan dengan jaminan polis, Papagomo membuat satu laporan polis terhadap Syed Saddiq atas dakwaan membuat laporan palsu terhadap dirinya.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, dengan menyifatkan insiden kononnya beliau menyerang Syed Saddiq selepas penamaan calon itu sebagai perselisihan faham. – Kosmo