KUALA LUMPUR: Pengguna Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menuju ke Ampang, Selangor dinasihatkan menggunakan laluan alternatif berikutan berlaku ‘sinkhole’ (lubang benam) di Seksyen 21.30 laluan terbabit, hari ini.
Kejadian dilaporkan berlaku pada 8 pagi tadi menyebabkan lorong kedua laluan di lokasi kejadian terpaksa ditutup daripada kenderaan untuk kerja pembaikan.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Gombak dalam kenyataan berkata, lokasi kejadian lubang benam itu berhampiran sebuah stesen minyak di Hulu Kelang dan laluan yang ditutup adalah sepanjang 10 meter.
“Laluan masih dibuka kepada semua kenderaan, namun aliran trafik di laluan itu sesak sejauh kira-kira dua kilometer dan kesesakan dijangka akan terus meningkat.
“Justeru, pengguna jalan raya yang menuju ke arah Ampang dinasihatkan menggunakan laluan alternatif iaitu menggunakan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Expressway (Duke),” katanya.
Kenyataan itu memaklumkan kejadian lubang benam berkenaan didapati berpunca daripada penutup ‘slab crossing culvert’ yang patah.
Katanya, petugas kini sedang mengawal trafik di lokasi kejadian dan kerja pembaikan akan dilaksanakan oleh JKR Gombak selepas mendapat penilaian bagi melaksanakan kerja pembaikan di lokasi. – Harian Metro