HomeBeritaMara Liner mohon maaf insiden penumpang kena tinggal bas

Mara Liner mohon maaf insiden penumpang kena tinggal bas

SHAH ALAM: Syarikat pengangkutan bas, Mara Liner Sdn Bhd tampil memohon maaf kepada semua pihak yang terjejas susulan tindakan pemandunya meninggalkan penumpang sehingga tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zachary Ismail dalam satu kenyataan berkata, pihaknya turut memberi jaminan insiden berkenaan tidak akan berulang lagi pada masa hadapan.

Jelasnya, siasatan dalaman juga dibuat sejurus aduan tersebut diterima dan tindakan susulan ke atas pemandu terlibat juga telah diambil.

“Pengurusan Mara Liner kesal di atas insiden yang telah berlaku kepada penumpang bas ekspres Kuala Terengganu – Melaka tempoh hari.

“Kami telah menghubungi penumpang terbabit kelmarin (20 September) bagi menzahirkan permohonan maaf dan rasa kesal,” katanya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, seorang penumpang ditinggalkan pemandu bas sebuah syarikat swasta kerana didakwa lambat menaiki kenderaan berkenaan selama satu minit dari waktu operasi perkhidmatan yang dijadualkan.

Menerusi video tular berdurasi 27 saat di TikTok, lelaki tersebut dilihat berlari dan memanggil pemandu berkenaan yang baru sahaja bergerak meninggalkan stesen, namun tidak diendahkan.

Susulan itu, warganet tampil mengecam tindakan pemandu dan syarikat pengangkutan bas terbabit. – Sinar Harian

Authors

Pilihan Editor