HomeBeritaPolitik'Masa PMX jadi pembangkang, reformasi dijerit-jerit, kini kebebasan bersuara terhad sokong kerajaan'...

‘Masa PMX jadi pembangkang, reformasi dijerit-jerit, kini kebebasan bersuara terhad sokong kerajaan’ – Dr M

CYBERJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menempelak tindakan kerajaan yang menghalang perbincangan menyentuh isu berkait agama, kaum dan raja (3R).

Dr Mahathir berkata, larangan 3R itu menyaksikan mulut rakyat tertutup dan tidak bebas bersuara.

Mengimbas kembali situasi semasa Perdana Menteri ke-10 menjadi pembangkang suatu ketika dahulu, Dr Mahathir berkata, laungan reformasi lantang disuarakan.

“Di antara reformasi yang dituntut ialah kebebasan bersuara dan kebebasan media cetak.

“Sekarang, kebebasan bersuara terhad kepada menyokong kerajaan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.

Tangkap layar hantaran di laman Facebook Dr Mahathir pada Jumaat.

Ketika ini, katanya, meskipun sebarang kenyataan benar dari segi sejarah dibangkitkan, namun ia tetap dianggap sebagai hasutan oleh media cetak.

Awal bulan ini, Dr Mahathir Mohamad dilapor menegaskan, beliau tetap akan bersuara mengenai isu 3R walaupun disiasat pihak berkuasa.

Malah, katanya, beliau sudah sembilan kali dipanggil pihak polis untuk dirakam keterangan berhubung isu terbabit.

Beliau turut mengulangi dakwaannya bahawa, larangan membangkitkan isu 3R adalah tidak perlembagaan.

Author

Pilihan Editor