SEORANG pelancong Ireland telah ditangkap, selepas menyebabkan kerosakan besar pada patung bersejarah yang baru dipulihkan.
Kerosakan pada arca patung yang ditempatkan di Bursa Saham Brussels, Belgium itu menelan belanja sebanyak AS$19,000 (RM89,195).
Menurut New York Post, patung itu menampilkan seorang lelaki dengan obor beserta seekor singa di sebelahnya.
Ia merupakan salah satu daripada dua patung yang dipulihkan baru-baru ini sebagai sebahagian daripada projek pengubahsuaian bernilai AS$150 juta (RM704 juta).
Ketika kejadian, pelancong yang dilaporkan mabuk itu cuba memanjat patung singa tersebut, sebelum memecahkan sebahagian daripada arca yang dipercayai obor.
Patung yang dikenali sebagai The Bourse itu mengalami kerosakan, sehari selepas ia dibuka semula sebagai pameran.
An Irishman climbed the statue in front of the Brussels Stock Exchange, which was reopened yesterday after 3 years of renovation, and broke its arm #BreakingNews pic.twitter.com/Ne5yu5fFaU
— 𝕬𝖐ı𝖓𝖈ı (@soneerbozkurt) September 15, 2023
Pengurus projek pemulihan patung itu, Nel Vandevennet berkata, bangunan Bursa Saham Brussels dan patung-patung terbabit disenaraikan sebagai warisan negara.
“Kami ingin melakukan pembaikpulihan dengan cepat, namun ia pasti akan mengambil masa beberapa minggu atau bulan.
“Seluruh bangunan itu baru sahaja dipulihkan sama seperti kegemilangannya dahulu, termasuk dua singa yang berada dalam keadaan buruk.
“Kami menjangkakan pembaikpulihan itu akan mendapat penghormatan lebih besar, tetapi sangat menyedihkan apabila ia dirosakkan semula,” katanya hampa.
Sementara itu, polis menahan pelancong tersebut di sebuah restoran makanan segera berhampiran lokasi kejadian.
Pihak berkuasa juga sudah pun meminta pampasan daripada lelaki berkenaan atas kerosakan yang dilakukan.