PETALING JAYA: Malaysia perlu mengatasi masalah middle income trap atau perangkap pendapatan sederhana yang berlarutan sejak 10 tahun lalu jika mahu menuju negara berpendapatan tinggi menjelang 2025.
Antara langkah perlu diambil mengatasi masalah itu adalah menerusi gaji dan upah bermaruah agar pendapatan rakyat dapat dipertingkatkan seiring peningkatan kos kehidupan sehingga masyarakat kini masih diheret dengan defisit pendapatan.
Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, masalah perangkap pendapatan sederhana terus berlaku kerana lebih 70 peratus pekerja di negara ini masih memiliki pendapatan bawah RM2,500.
Katanya, mereka perlu memiliki upah dan gaji antara RM3,500 dan RM4,000 untuk keluar kumpulan pendapatan sederhana sekali gus membawa negara menuju pendapatan tinggi yang disasarkan dalam tempoh dua tahun lagi.
Namun Barjoyai berkata, peningkatan gaji bergantung kepada majikan dan syarikat yang perlu melihat produktiviti pekerja mereka sama ada perlu layak menerima kenaikan gaji atau sebaliknya.
“Sepertimana diumumkan pelaksanaan gaji progresif oleh kerajaan, ia bergantung kepada kerelaan majikan untuk berbuat demikian. Majikan pula lihat kepada produktiviti pekerja, apakah mereka wajar dinaikkan gaji atau tidak.
“Hal ini kerana rata-rata tenaga kerja di negara ini dalam pekerja separuh mahir dan menyebabkan produktiviti masih rendah. Mereka perlu diberikan latihan agar menjadi pekerja mahir, jika ingin produktiviti dipertingkatkan sekali gus meraih gaji setimpal,” katanya.
Perangkap pendapatan sederhana bermaksud keadaan di mana sebuah negara berjaya mencapai pendapatan sederhana namun tidak dapat keluar daripada situasi tersebut untuk mencapai negara maju.
Sebelum ini, kerajaan melancarkan dasar Ekonomi Madani yang berteraskan kepada dua sasaran iaitu pertama, menjadikan Malaysia Peneraju Ekonomi Asia dan memastikan kehidupan rakyat berkualiti terutamanya melalui pekerjaan berpendapatan tinggi, peluang yang saksama, penyampaian perkhidmatan awam terbaik dan perlindungan sosial menyeluruh.
Pada masa sama, Barjoyai berkata, Malaysia tidak mempunyai masalah untuk menyediakan ruang dan peluang meningkatkan kemahiran dalam kalangan pekerja, namun minat dan kesanggupan mereka menjadi kekangan untuk berbuat demikian.
“Jika mereka sanggup diberi latihan ditingkatkan kemahiran Revolusi Perindustrian (IR) 4.0, maka tiada masalah majikan menaikkan gaji sejajar produktiviti dan sekali gus dapat menikmati gaji lebih tinggi manakala secara tidak langsung dapat mengeluarkan mereka daripada masalah perangkap pendapatan sederhana,” katanya.
Dalam pada itu pensyarah Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, antara punca perangkap pendapatan sederhana disebabkan oleh gaji dan pendapatan rakyat masih tidak setara dengan kos kehidupan sara hidup sehingga masyarakat diheret defisit pendapatan.
Katanya, antara faktor lain masalah perangkap pendapatan sederhana adalah gaji tidak berubah walaupun sudah bekerja lebih 10 tahun sekali gus menyebabkan negara gagal mencapai status pendapatan tinggi.
“Perkara itu sekali gus mewujudkan jurang pendapatan antara golongan kemampuan dan tidak kemampuan, akhirnya menjejaskan kitaran ekonomi kerana rakyat berjimat cermat berbelanja manakala hasil pendapatan turut terkesan,” katanya.
Katanya, majikan perlu memainkan peranan sama dengan menaikkan gaji pekerja agar setimpal dengan bakat dan rekod masing-masing. – Utusan