NYAWA seorang bayi yang tercekik akhirnya berjaya diselamatkan menerusi tindakan pantas seorang anggota polis yang memberikan pertolongan kecemasan.
Kejadian bayi berusia lapan bulan yang tercekik itu berlaku di sebuah lebuh raya di Michigan, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, lapor Daily Mail.
Ketika kejadian, pegawai polis, Brendan Fraser yang sedang bertugas di Warren, mengesan sebuah kenderaan Camaro dipandu laju melepasi kereta peronda polis di lebuh raya.
Fraser yang memintas kenderaan laju itu dan meminta pemandu berhenti, mula menyedari keluarga dalam kereta itu mengalami kecemasan.
“Keluarga dalam kereta itu merayu agar mereka dibenarkan membawa bayi mereka yang tercekik, ke hospital.
“Fraser segera membantu mereka dengan memberi pertolongan kecemasan kepada bayi itu sehingga boleh bernafas semula,” tulis laporan berkenaan.
Laporan sama turut menyatakan Fraser berjaya membuatkan bayi itu kembali normal dengan memberikan pertolongan kecemasan, selepas mangsa didapati tercekik sehingga wajahnya kebiruan.
“Ibu bapa bayi itu pula panik berkerumun sekeliling Fraser dan seorang lagi anggota polis ketika mereka cuba menyelamatkan anak kecil itu sebelum rakaman video itu tamat,” jelas laporan.