TINDAKAN pantas seorang pegawai polis yang meminjam sebuah basikal daripada orang awam berjaya menyelesaikan satu kes jenayah, lapor New York Post.
Dalam kejadian pada Jumaat, pegawai polis yang bertugas di Gosport, England pada mulanya sedang memburu seorang pencuri di kawasan White Lion Walk.
Dia kemudian terserempak dengan seorang kanak-kanak lelaki dan meminjam basikal kecil untuk mengejar suspek.
“Boleh tak saya pinjam basikal awak? Saya akan kembalikannya semula?” kata pegawai tersebut yang dikenali sebagai Harriett Taylor.
Kanak-kanak itu tidak berfikir panjang dan terus bersetuju, sebelum memerhati Taylor menaiki basikalnya untuk menuju ke arah suspek.
Menerusi video tular, Taylor dilihat menunggang basikal saiz kecil berwarna biru-putih.
Tindakan cekap Taylor membuahkan hasil kerana suspek sudah pun ditahan kerana disyaki melakukan jenayah pencurian dan pecah rumah.
Taylor yang menepati janjinya kemudian memulangkan basikal itu sebelum bergambar bersama kanak-kanak tersebut.
Kini, kanak-kanak yang meminjamkan basikal tersebut dipuji pihak polis dan dianggap sebagai ‘wira kecil’.
Pihak polis juga sempat bergurau dengan kanak-kanak itu dengan mengatakan bahawa dia boleh meminjam kereta polis apabila memerlukan.