CYBERJAYA: Pempengaruh media sosial, Fais Al-Hajari tampil menegur kenyataan pelakon, Puteri Sarah Liyana berhubung isu poligami yang disifatkan sebagai keterlaluan.
Fais menerusi Facebooknya meminta aktres berkenaan tidak menyamakan sejarah rumah tangganya dengan pasangan lain kerana setiap orang mempunyai kisah berbeza.
Malah Fais yang juga memiliki dua orang isteri berpendapat tindakan Sarah itu mampu membuatkan rumah tangga orang lain musnah disebabkan termakan dengan nasihat Sarah.
“Puteri Sarah Liyana, saya nak nasihatkan satu je. Jangan over! Memang rumah tangga anda hancur dan memang kehancuran tu disebabkan antara lain oleh sikap si lelaki.
“Tapi itu tak bermakna anda ada hak untuk mempengaruhi wanita-wanita lain untuk menghancurkan rumah tangga mereka pula,” tulisnya.
Fais berkata demikian dalam sebuah hantaran di Facebook berserta tangkap layar kenyataan Sarah dalam menasihati para isteri agar mengundurkan diri sekiranya dianiaya dalam perkahwinan.
Kenyataan itu dibuat susulan isu poligami oleh seorang pempengaruh iaitu Abang Tesla.
Sarah menerusi dua hantaran berbeza di Facebooknya menegaskan dia tidak pernah menghasut mana-mana wanita yang hidup berpoligami untuk meninggalkan perkahwinan mereka.
Menjawab tuduhan itu, dia bukanlah seorang wanita anti poligami sebaliknya hanya memberi nasihat kepada kaum wanita agar menjadi bijak terutamanya mereka yang teraniaya.
“Silakan yang nak berpoligami itu tidak salah, yang salah adalah lelaki yang berpoligami tapi tidak memiliki tanggungjawab sesuai syariat agama Islam.
“Read what I said. Orang bodoh selalu negative. Dalam kenyataan saya, I said wanita sila bangkit. Pertahankan diri anda kalau terjadi toxic marriage. Terpulang kepada semua.
“Jadi kalau lelaki di sini membaca dengan tanggapan negatif, berhati busuk maka anda lah yang bermasalah atau anda ada buat salah dengan isteri sampai takut dengan statement ni?.
“Again saya tak menghasut sesiapa. Kalau awak rasa menghasut adalah tu kan… faham ke tidak statement saya?,” selarnya.