HomeBeritaMahkamah & JenayahSorok kokain dalam tin biskut, wanita kena tahan di KLIA

Sorok kokain dalam tin biskut, wanita kena tahan di KLIA

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup 211 kapsul mengandungi kokain bernilai RM918,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala lumpur (KLIA) pada 14 September lalu.

Dadah seberat 4.5 kilogram itu ditemukan dalam tiga tin biskut susulan imbasan dilakukan ke atas bagasi milik seorang wanita warga Afrika yang baharu tiba dari Addis Ababa, Ethiopia.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Wong Pun Sian berkata, semasa pengimbasan dilakukan ke atas bagasi milik suspek, anggota bertugas mengesan objek dan imej kehijauan mencurigakan dalam tiga tin biskut milik wanita berkenaan yang disyaki dadah.

“Hasil pemeriksaan, kami menemukan 211 kapsul mengandungi serbuk putih disyaki dadah kokain dengan anggaran berat 4.5 kilogram dan dianggarkan bernilai RM918,000,” katanya pada sidang media hari ini.

Pun Sian berkata, siasatan awal mendapati dadah terbabit diterima suspek dari Lapangan Terbang Addis Ababa untuk dibawa masuk ke Malaysia.

Jelasnya, modus operandi sindiket adalah dengan menyembunyikan dadah dalam tin biskut aluminium bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

“Berdasarkan jumlah berat dadah dirampas, kita yakin berjaya membanteras pengedaran dadah kepada 23,000 penagih dadah.

“Wanita berusia lingkungan 40-an itu kemudian ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor