HomeBeritaAnwar jurujual terbaik Malaysia - Tengku Zafrul

Anwar jurujual terbaik Malaysia – Tengku Zafrul

NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-87 di sini yang dihadiri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja menjadi medan beliau menyatakan pandangan dan ketegasan Malaysia mengenai isu kepentingan sejagat.

UNGA juga bukan sekadar pentas untuk beliau menyuarakan pandangan mengenai pelbagai isu global dan peranan yang perlu dimainkan oleh masyarakat antarabangsa dalam mengatasi pelbagai cabaran bersama.

Perdana Menteri juga tidak setakat berkongsi usaha Malaysia dalam menangani krisis iklim dan mengambil tindakan ke arah mencapai Tindakan Agenda 2030 dan matlamat pembangunan mampan (SDG) ke arah keamanan, kemakmuran, kemajuan dan kemampanan untuk semua.

Sebaliknya, selain meningkatkan hubungan dua hala menerusi pertemuan dengan pemimpin asing, penampilan sulung Anwar turut membuka ruang untuk bertemu dengan ramai pelabur, pengurus dana dan pasaran modal dalam beberapa acara sampingan ketika tiga hari berada di sini.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) merancang beberapa acara untuk Perdana Menteri bertemu ketua industri dan perniagaan.

Anwar dijadual hadir dalam perbincangan meja bulat bersama Fortune 500 Companies bersama MITI dan Forum Invest Malaysia anjuran Bursa Malaysia. Beliau juga akan mengadakan sesi soal jawab dengan mereka.

Perdana Menteri akan turut berkongsi naratif dan memberi pencerahan hala tuju ekonomi Malaysia yang lebih kukuh dan visi ekonomi MADANI kepada pelabur asing.

Dalam sesi berkenaan, beliau juga akan bertemu usahawan dan pelabur baharu yang berpotensi dari Amerika Syarikat (AS) seperti Boeing, Kimberly Clark, Phillip Morris International dan Procter & Gamble (P&G)

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika diminta mengulas kehadiran sulung Perdana Menteri berkata, keadaan politik Malaysia tidak menjadi kebimbangan utama dalam kalangan pelabur berpotensi seperti sebelum ini.

Katanya, Malaysia terus menarik pelaburan besar berikutan kestabilan politik semasa, selain ekosistem ​​rantaian bekalan yang tepat serta peranan yang dimainkan oleh Anwar sendiri.

Selain itu, perang perdagangan AS-China juga menguntungkan negara ASEAN, dengan beberapa syarikat berpindah ke Malaysia dan Vietnam untuk menyelaraskan semula rantaian bekalan mereka.

Menurut Tengku Zafrul, pengaruh Anwar dan kerja keras beliau terserlah seperti ketika Sidang Kemuncak ASEAN di Jakarta dan jadual ketat beliau yang memenatkan di Nanning, China baru-baru ini.

“Selepas Hari Malaysia di Kuching dan kemudian bergegas ke Nanning untuk tiba jam 4 pagi.

“Di Nanning, Perdana Menteri hadir beberapa acara dan menemui rakan sejawat Li Qiang, kali ketiga antara mereka untuk tahun ini.

“Anwar adalah Top Salesman (Jurujual Terbaik) Malaysia dan beliau ‘memudahkan’ kerja saya,” katanya sambil tersenyum ketika sidang media bersama wartawan Malaysia, sehari sebelum ketibaan Anwar di New York. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor