CYBERJAYA: Baru-baru ini, tular sebuah video mengenai seorang penumpang ditinggalkan pemandu sebuah bas ekspres kerana didakwa lewat seminit dari waktu yang dijadualkan.
Menerusi perkongsian video TikTok @HarisAdli, kelihatan seorang lelaki berlari sambil memberikan isyarat untuk berhenti kepada pemandu bas tersebut.
Malangnya, usaha penumpang itu tidak membuahkan hasil kerana pemandu bas terbabit tidak mengendahkan panggilannya.
“Kesiannya orang, driver tinggal penumpang sedangkan boleh je berhenti,” tulisnya.
Menurut pengguna TikTok, bas itu dipercayai dari hentian bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menghala ke Melaka.
Video tersebut turut mendapat perhatian warga net yang rata-ratanya menyelar tindakan pemandu bas berkenaan.
Malah, ada juga netizen berkongsi pengalaman yang hampir sama ketika menggunakan pengangkutan awam itu.
“Pemandu ikut perasaan, mungkin dia nak tunjuk marah dia sebab lama tunggu penumpang,” selar netizen.
“Pernah jadi macam ni, aku duduk dalam bas, aku jerit kat driver tu suruh berhenti… dia tak nak. Aku cakap, kita mudah kan kerja orang, orang mudahkan kerja kita,” komen netizen.
“Anak saudara letak beg atas bas… turun nak salam-salam sementara bas tak gerak lagi… sedangkan driver dah nampak, driver tutup pintu terus gerak,” kongsi netizen.