HomeBeritaPolis akan bantu KPDN tangani penyelewengan bekalan asas

Polis akan bantu KPDN tangani penyelewengan bekalan asas

 

JOHOR BAHRU: Polis Johor tidak teragak-agak untuk campur tangan dalam membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan tiada penyelewengan membabitkan bekalan asas seperti beras, minyak, telur dan gula daripada berlaku di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tindakan itu diambil pihaknya memandangkan masalah bekalan asas itu sudah menyebabkan berlakunya keresahan dan kegusaran dalam masyarakat.

“Walaupun ini bukan tugas hakiki polis, tetapi kita buat keputusan untuk campur tangan kerana masalah bekalan barangan asas ini sudah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Langkah ini dibuat dengan kerjasama KPDN. Polis bantu tangkap, manakala siasatan akan dijalankan mereka. Kita bantu kerana mungkin KPDN ada kekangan dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, setakat ini pihaknya menerima satu laporan polis berhubung aktiviti penyelewengan minyak masak peket dan sudah menahan seorang lelaki warga asing yang dipercayai terbabit dalam aktiviti itu di sebuah premis perniagaan di Pandan, Isnin lalu.

“Dalam operasi itu, seorang lelaki warga asing berusia 35 tahun ditahan bersama lima kotak minyak masak peket dengan anggaran rampasan sebanyak RM8,212.50.

“Itu baharu tindakan pertama, kita akan teruskan lagi pemantauan dan tindakan berhubung perkara ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa Polis Johor akan memperkasakan pelbagai lagi platform aduan awam termasuk media sosial bagi memudahkan sebarang penyaluran maklumat oleh orang awam kepada pihak polis.

“Kita akan lancarkan segera pelbagai lagi medium untuk orang awam salurkan maklumat. Mungkin talian hotline, WhatsApp, TikTok, aplikasi X dan sebagainya.

“Jadi, pihak polis boleh bertindak segera apabila menerima maklumat yang disalurkan dengan pantas,” katanya. – Harian Metro

Author

Pilihan Editor