KUALA LUMPUR: Kelainan upaya tidak menghalang penyatuan cinta Hakim dan Yuyu apabila kedua-duanya berjaya diijab kabul dalam satu majlis baru-baru ini.
Namun, majlis pernikahan itu tular di TikTok yang memaparkan Hakim yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) sedang melafazkan akad nikah dengan menggunakan bahasa isyarat.
Dalam video terbabit, pengantin itu yang juga OKU pendengaran dibantu seorang wanita yang menggunakan bahasa isyarat, sebagai ‘perantara’ selepas pihak wali mengucapkan akad.
Difahamkan wanita itu adalah ibu kepada penganti lelaki.
Menerusi perkongsian kisah itu di platform terbabit, video berkenaan meraih lebih 7.1 juta tontonan dan memperoleh 614,300 tanda suka.
Menjengah reaksi netizen di ruangan komen, rata-rata mereka gembira bahkan ada yang teruja melihat proses akad nikah yang menggunakan bahasa isyarat.
Tidak kurang ada yang memberi reaksi ‘pertama kali melihat OKU akad nikah’, selain sebak melihat urusan ijab kabul pasangan berkenaan berjalan lancar.
“Betapa rasa bersyukurnya nikmat Allah bagi pada diri ini berbanding mereka,” kata seorang netizen di ruangan komen video berkenaan. – Berita Harian