CYBERJAYA: Gara-gara abang ipar berhutang, seorang gadis mengalami detik hitam apabila dirogol di Wangsa Maju, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, siasatan polis mendapati abang ipar mangsa berusia 29 tahun itu berhutang dengan salah seorang suspek yang masih bebas.
Menurutnya, demi melangsaikan hutang itu, abang ipar mangsa menjadi punca dia ‘berkomplot’ dengan beberapa rakan untuk merogol adik iparnya itu.
Katanya, sebelum kejadian, lelaki itu menghubungi mangsa, 26, supaya tidak mengunci pintu rumah sehingga menyebabkan dia dirogol bergilir-gilir ketika sedang tidur
“Abang ipar mangsa ditahan pada 9.30 malam Sabtu di hadapan sebuah restoran di Jalan Rampai Niaga 5, Taman Sri Rampai, Wangsa Maju dan direman enam hari hingga 8 September.
“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan (Rogol berkumpulan),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kejadian, pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Siti Fadzilah Ahmad Fisal di talian 017-6240252 atau Hotline Polis 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Rabu lalu, media melaporkan wanita sedang tidur diserang lima lelaki sebelum diperkosa bergilir dalam kejadian pada 3.30 pagi.
Mangsa turut diikat tangan dan mulutnya ditutup dengan pita pelekat suspek yang turut merakam kejadian itu.