HomeBeritaMahkamah & JenayahPolis tahan pengasuh dera kanak-kanak di Cheras

Polis tahan pengasuh dera kanak-kanak di Cheras

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang pengasuh sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Sri Permaisuri, Cheras , di sini pada Selasa, kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak perempuan di bawah jagaannya.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, suspek wanita tempatan berusia 28 tahun itu didapati melakukan perbuatan terbabit terhadap mangsa yang berusia dua tahun sehingga cedera di kepala dan tangan.

Zam Halim berkata, bapa mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Salak Selatan kira-kira jam 11.28 pagi Selasa.

“Wanita berkenaan ditahan selepas datang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 1 tengah hari, pada hari yang sama.

“Suspek ditahan selama 24 jam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan telah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu boleh menghubungi Hotline Polis Cheras menerusi talian 03-9284 5050/ 5051 dan Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999.

Sejak Selasa, tular dua video masing-masing berdurasi seminit 10 saat dan 56 saat di laman Facebook, memaparkan seorang wanita mencederakan seorang kanak-kanak perempuan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak.

Author

Pilihan Editor