SEREMBAN: Kegiatan warga asing yang menjaja di sekitar Pasar Besar Seremban, di sini, tanpa kebenaran membawa kepada penahanan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan Ops Jaja oleh Jabatan Imigresen Negeri Sembilan (JIMNS).
Serbuan dilakukan bermula pukul 5.40 pagi semalam dengan kekuatan 16 orang pegawai JIMNS susulan aduan orang awam yang tidak selesa dengan kehadiran warga asing itu.
Pengarah JIMNS, Kennith Tan Ai Kiang berkata, hasil maklumat awam mendapati, lokasi itu disyaki dipenuhi dengan warga asing yang bekerja tanpa suatu pas yang sah dan menimbulkan ketidakselesaan penduduk setempat serta pelanggan.
“Sebanyak 10 premis termasuk di sekitar lokasi terbabit telah diperiksa yang merangkumi gerai sayur-sayuran, gerai makanan minuman serta gerai menjual ayam dan ikan.
“Seramai 38 pekerja warga asing berusia antara 23 hingga 40 tahun termasuk pelanggan berjaya dikumpulkan bagi tujuan dokumentasi,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Kennith berkata, hasil pemeriksaan mendapati seramai 14 warga asing yang terdiri daripada tujuh lelaki warga Indonesia, empat lelaki Myanmar serta masing-masing seorang wanita Indonesia, seorang lelaki Pakistan dan seorang wanita Myanmar telah ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.
Tambah beliau, seramai sembilan warga Malaysia iaitu pemilik gerai yang disyaki terlibat telah diberikan Borang 29 (saman kepada saksi) untuk hadir di Unit Siasatan Bahagian Penguatkuasa JIMNS untuk membantu siasatan.
“Kesemua warga asing yang ditahan dihantar ke Depot Imigresen Lenggeng, di Nilai untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, peniaga warga asing dikesan menjual makanan basah dan sayur-sayuran di kaki lima di depan dua premis di Jalan Dato’ Bandar Tunggal di sini dikenakan tindakan sitaan oleh pihak berkuasa Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan kegiatan peniaga warga asing itu yang meniaga dan menjaja barangan basah selain turut menjual makanan dari negara asal mereka.
Siasatan mendapati premis berkenaan memiliki lesen perniagaan runcit dari pihak MBS milik rakyat tempatan serta kedua-dua premis ada menjalankan aktiviti menjual sayur-sayuran dan di letakkan di kaki lima premis. – Kosmo!