CYBERJAYA: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa menteri yang terbabit dalam insiden pengamal media dikasari pegawai pengiring pada Selasa lalu memohon maaf.
Wan Saiful yang Ketua Portfolio Komunikasi dan Digital Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kekasaran pegawai menteri terhadap wartawan wanita di Johor Bahru, Johor amat dikesali.
Beliau berkata, perkara tersebut mengakibatkan para wartawan merasa tergugat ketika menjalankan amanah tugasan mereka.
“Dalam melaksanakan tugas, mereka perlu merasa selamat dan selesa untuk mengumpul bahan berita dan maklumat di lapangan. Jika tidak, maka rakyat di Malaysia akan dinafikan hak untuk mendapatkan berita yang tepat.
“Para pemimpin negara dan pegawai-pegawai mereka mempunyai tanggungjawab yang lebih besar daripada rakyat biasa untuk memastikan wartawan boleh menjalankan tugas mereka,” katanya.
Tegas beliau, rakyat juga berhak mengetahui menteri yang terbabit dalam insiden itu selain tindakan pihak tersebut untuk memperbetulkan situasi.
“Saya juga menasihatkan wartawan yang terbabit agar jangan takut untuk membuat laporan polis supaya tindakan sewajarnya dapat diambil oleh pihak berkuasa,” katanya.
Sebelum ini, Presiden Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak mendakwa, dua wartawan wanita dikasari pegawai pengiring seorang menteri ketika membuat liputan program kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Taman Anggerik dan Taman Dahlia, Johor Bahru, pada 5 September lalu.
Dakwanya, beberapa pegawai pengiring telah menghalang pengamal media ketika sidang menteri diadakan.
Antaranya, pengiring terbabit didakwa menyentuh tangan seorang wartawan wanita yang sedang merakam sidang media itu.
“Pegawai pengiring juga mencubit belakang pinggang seorang lagi wartawan wanita beberapa kali bertujuan untuk menghalangnya melaksanakan tugas semasa sidang media.
“Suara wartawan wanita menjerit ‘jangan sentuh saya’ turut terakam dalam rakaman sidang media berkenaan.
“Seorang jurugambar juga ditolak oleh pengawai pengiring semasa mengambil gambar sewaktu sidang media,” dakwanya.