HomeSukanZii Jia setuju berlatih di ABM

Zii Jia setuju berlatih di ABM

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia sah akan menyertai kem latihan pusat skuad badminton negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara sebagai persiapan bagi menghadapi Sukan Asia Hangzhou, hujung bulan ini.

Walaupun sebelum ini timbul isu berhubung peraturan pemakaian yang ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ke atas pemain profesional yang mahu berlatih di ABM, namun satu persetujuan sudah dicapai antara semua pihak.

Pengarah Pentadbiran BAM, Michelle Chai berkata, hasil perbincangan dengan semua pemain profesional yang dipilih membarisi skuad negara ke Hangzhou, mereka bersetuju dengan cadangan badan induk itu yang akan menyediakan jersi latihan Team Malaysia tanpa sebarang jenama untuk dipakai sepanjang sesi latihan pusat di ABM.

Katanya, jersi latihan itu juga turut akan dipakai oleh pemain yang berada di bawah naungan BAM.

“Menerusi perbincangan dengan pemain profesional, mereka tiada halangan dengan perkara ini. Jadi, kami akan menyediakan jersi latihan itu nanti dan mereka akan gunakannya sepanjang latihan di ABM termasuklah pemain BAM sendiri.

“Pendekatan ini terpakai untuk sesi latihan bagi persiapan ke Sukan Asia dan selepas itu peraturan yang sama tetap digunakan,” kata Michelle.

Beberapa hari sebelum Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark, bulan lalu, jurulatih Zii Jia, Wong Tat Meng menyuarakan rasa tidak puas hati selepas BAM mewajibkan pemain profesional untuk tidak memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja badan induk itu jika mahu menjalani latihan di ABM.

Bagaimanapun, BAM menjelaskan peraturan yang ditetapkan itu sudah diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu dan ia adalah satu obligasi kontrak untuk hanya menggunakan pakaian penaja di ABM.

Kem latihan pusat skuad negara akan diadakan bermula dari 19 hingga 23 September ini sebelum mereka berlepas ke Hangzhou dua hari kemudian.

Bagaimanapun, Zii Jia hanya akan mula menyertai kem latihan bermula 22 hingga 23 September iaitu selama dua hari disebabkan pemain itu terikat dengan jadual bersama penaja dan pasukannya yang sudah disusun lebih awal.

“Kita faham mengenai situasi yang dialami Zii Jia dan pasukannya kami pun tiada sebarang masalah. Selepas itu, Zii Jia akan menyertai latihan pada 22 September,” kata Michelle. – Berita Harian

 

Author

Pilihan Editor