KUALA LUMPUR: Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa sudah tiba di Malaysia, bagi membantu siasatan pihak berkuasa berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi BH, hari ini dan memaklumkan lelaki itu tiba di negara ini tengah malam tadi.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan lokasi Roger Ng sekarang atas faktor keselamatan.
“Saya sahkan dia sudah berada di negara ini,” katanya.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution memaklumkan Roger Ng akan tiba di Malaysia hari ini.
Saifuddin berkata, tempoh dia berada di Malaysia bergantung kepada proses siasatan.
Terdahulu, media melaporkan Roger Ng dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di New York, Amerika Syarikat (AS) kerana membantu menggelapkan berbilion dolar dana 1MDB.
Saifuddin sebelum ini dilaporkan berkata, Roger Ng berada di AS untuk sementara bagi berdepan perbicaraan di negara itu, dan akan diserahkan kepada Malaysia untuk berdepan pertuduhan di negara ini.
Beliau berkata, tumpuan kerajaan untuk mendapatkan kembali aset yang dikaitkan dalam kes itu dan Roger Ng akan serahkan kepada pihak berkuasa, agensi penguat kuasa untuk menjalankan siasatan.
Beberapa agensi penguat kuasa Malaysia menunggu kepulangan Roger Ng untuk melengkapkan siasatan masing-masing membabitkan skandal 1MDB.
Antara agensi dijangka memerlukan maklumat atau menyiasat sekutu ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low itu ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain itu, bekas ketua pelaburan Goldman Sachs itu mungkin turut diperlukan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). – Berita Harian