HomeGlobal2,000 maut akibat gempa bumi di Afghanistan

2,000 maut akibat gempa bumi di Afghanistan

SEKURANG-KURANGNYA 2,000 orang terkorban selepas gempa bumi melanda barat Afghanistan, kata kerajaan Taliban pada Ahad.

Gempa bumi berukuran 6.3 pada skala Ritcher itu melanda Herat, bandar ketiga terbesar di negara itu pada Sabtu, menurut CNN.

Pegawai kanan Taliban dari Kementerian Penerangan dan Kebudayaan, Abdul Wahed Rayan berkata, anggaran angka yang maut itu boleh meningkat, dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan manakala masih ramai dilapor terperangkap di bawah runtuhan.

Gegaran awal dirasai di wilayah Badghis dan Farah, sebelum diikuti dengan beberapa gegaran susulan.

Sementara itu, penilaian awal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan angka lebih rendah iaitu sekitar 100 orang maut dan 500 orang cedera.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) turut melaporkan hampir 500 kediaman musnah dan 135 bangunan mengalami kerosakan.

“Secara keseluruhan, 4,200 orang dari 600 keluarga terjejas akibat gempa itu sehingga kini,” kata OCHA.

Sebuah imej memaparkan timbunan besar serpihan akibat daripada runtuhan bangunan, manakala orang ramai yang terselamat telah berkumpul di jalanan.

“Mahal Wadakah difahamkan menjadi kampung paling teruk terjejas,” kata PBB yang melaporkan sekurang-kurang 20 kematian di kampung tersebut.

Tambahnya, kawasan lain yang teruk terjejas termasuk Dasht Hows, Bahadorzai, Zoryan dan Koshkak.

“Selain itu, dianggarkan 300 keluarga (kira-kira 2,100 orang) dilaporkan telah dipindahkan ke bandar Herat, di mana mereka tinggal di bangunan terbiar,” katanya.

Antara bangunan yang runtuh akibat bencana itu. – Foto: UNICEF Afghanistan

Afghanistan mengalami kerosakan teruk akibat daripada beberapa siri gempa bumi baru-baru ini di tengah-tengah krisis ekonomi dan kebuluran teruk yang berterusan, sekali gus membunuh dan memindahkan puluhan ribu penduduk.

Negara ini telah lama menjadi salah satu negara termiskin di Asia dan dilanda konflik selama beberapa dekad.

Pada masa sama, keupayaannya untuk menguruskan bencana alam semakin teruk terjejas sejak Taliban melakukan rampasan kuasa dari Amerika Syarikat (AS) pada 2021.

Ini seterusnya menyebabkan banyak kumpulan bantuan antarabangsa menarik diri.

Malah, Washington dan sekutunya juga membekukan kira-kira AS$1 bilion rizab asing negara dan memotong pembiayaan antarabangsa.

Keadaan itu sekali gus melumpuhkan ekonomi yang sudah banyak bergantung kepada bantuan.

Author

Pilihan Editor