KEMENTERIAN Kesihatan Palestin mengumumkan bahawa angka kematian rakyat negara itu meningkat kepada 413 orang, manakala 2,300 lain dilapor cedera berikutan serangan berterusan rejim pengganas Israel di Semenanjung Gaza pada Ahad.
Menurut Agensi WAFA, daripada jumlah yang terkorban itu, 78 melibatkan kanak-kanak, manakala 41 lagi membabitkan kaum wanita.
Pada petang Ahad, pesawat Israel bertindak melancarkan serangan udara di bandar Khan Yunis, dekat selatan Semenanjung Gaza dan di bandar Beit Hanoun.
Sebelum ini, sayap bersenjata Hamas, Briged Al-Qassam menegaskan bahawa, Operasi Banjir Al-Aqsa sedang berjalan seperti yang dirancang, bagi menggesa Israel bertanggungjawab atas serangannya di Palestin.
Jurucakap kumpulan itu, Abu Ubaida berkata, serangan itu merupakan bantahan Palestin terhadap negara haram atas pencerobohan di Masjid Al-Aqsa dan rakyat Palestin yang ditawan.
Operasi Banjir Al-Aqsa itu akan menyasarkan lapangan terbang dan kubu tentera, dengan menggunakan lebih 5,000 peluru berpandu.
Pada Sabtu, tular sebuah video memaparkan Sayap Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Briged Al-Qassam berada di dalam tapak rejim pengganas Israel.
Sebuah lagi video memaparkan, anggotanya turut merampas sebuah ladang Israel dan kubu rejim pengganas di Kerem Shalom, dekat selatan Semenanjung Gaza yang diduduki.
Malah, rakyat Palestin turut berkongsi gambar dan video memaparkan mereka merampas kereta kebal Israel.
Pada masa sama, beberapa anggota pengganas Israel dilapor sudah ditawan pejuang Palestin di Gaza.