HomeBeritaPolitikAhmad Samsuri calon PAS PRK Parlimen Kemaman?

Ahmad Samsuri calon PAS PRK Parlimen Kemaman?

KUALA TERENGGANU: PAS dijangka mempertaruhkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman 2 Disember depan.

Sumber parti memberitahu Utusan Malaysia, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS dikatakan dipilih sebagai calon kerana ketokohan dan khidmatnya amat diperlukan di peringkat Pusat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang itu juga berpotensi untuk menang di Parlimen itu dengan majoriti lebih besar, seterusnya mempertahankan kerusi tersebut yang disandang oleh Che Alias Hamid.

Malah, sokongan pengundi terhadap Menteri Besar itu sukar dicabar mana-mana calon yang akan dipilih Barisan Nasional (BN) untuk bertanding nanti.

Sebelum ini, Ahmad Samsuri juga disebut-sebut calon PAS Parlimen Marang bagi menggantikan Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Selain itu, ADUN Cukai, Hanafiah Mat juga dikatakan bakal dipilih sebagai calon PAS di PRK Parlimen Kemaman.

Namun, Ahmad Samsuri dijangka mendapat kepercayaan parti untuk bertanding.

Sebelum ini, Che Alias menegaskan beliau menyerahkan kepada pimpinan tertinggi dalam menentukan kedudukan sama kekal bertanding atau sebaliknya.

Pada PRU15, Che Alias mengekalkan kerusi Parlimen Kemaman dengan dengan majoriti 27,179 undi setelah mendapat 65,714 undi untuk mengetepikan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said yang memperoleh 38,535 undi, calon Pejuang, Rosli Ab. Ghani (506 undi) dan calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin pula (8,340 undi).
– Utusan

 

Author

Pilihan Editor