SAYAP bersenjata Hamas, Briged Al-Qassam menegaskan bahawa, Operasi Banjir Al-Aqsa sedang berjalan seperti yang dirancang, bagi menggesa Israel bertanggungjawab atas serangannya di Palestin.
Dalam satu kenyataan, jurucakap kumpulan itu, Abu Ubaida berkata, serangan itu merupakan bantahan Palestin terhadap negara haram atas pencerobohan di Masjid Al-Aqsa dan rakyat Palestin yang ditawan.
“Ini adalah peluang bersejarah untuk menjatuhkan pendudukan haram itu,” kata jurucakap itu menyeru rakyat Palestin di Tebing Barat dan mereka yang menetap di wilayah yang diduduki, untuk terlibat sama dalam pertempuran dengan Israel.
Operasi Banjir Al-Aqsa itu akan menyasarkan lapangan terbang dan kubu tentera, dengan menggunakan lebih 5,000 peluru berpandu.
Sekurang-kurangnya 20 warga Israel terbunuh, manakala lebih 540 lagi cedera sejak pagi Jumaat dalam serangan roket dari Semenanjung Gaza.
Puluhan pesawat Israel melakukan serangan udara di tapak lokasi Hamas di Gaza, dakwa Israel dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Briged Al-Quds mendakwa ia sudah pun menawan beberapa anggota pengganas Israel di Gaza.
Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan Briged Al-Qassam berada di dalam tapak rejim pengganas Israel pada Sabtu.
Sebuah lagi video memaparkan, anggotanya turut merampas sebuah ladang Israel dan kubu rejim pengganas di Kerem Shalom, dekat selatan Semenanjung Gaza yang diduduki.
Malah, rakyat Palestin turut berkongsi gambar dan video memaparkan mereka merampas kenderaan Israel.