CYBERJAYA: Baru-baru ini, perkongsian seorang individu mengenai kegembiraan beberapa orang kanak-kanak apabila merasai menaiki kereta mewah mengundang rasa terharu warga net.
Menurut Abu Hurairah Roslan, sewaktu dia berhenti di sebuah gerai tepi jalan disebabkan anaknya ingin membeli air, dia terdengar perbualan beberapa kanak-kanak yang kelihatan kagum dengan kenderaan mewah jenis Toyota Alphard.
“Semalam petang, ambil anak-anak singgah gerai tepi jalan beli air. Budak-budak sedang tunggu van sekolah.
“Saya buka pintu belakang automatik terbuka untuk Carah (anak) turun nak beli air.
“Beberapa orang budak kagum, ‘Wooohhhh! Pintu dia buka sendiri woooo’.
“Ini afat (Alphard). Ayah aku cakap keta ni best woo,” kongsinya dalam hantaran di Facebook.
Mendengar perbualan itu, Abu Hurairah terus tergerak hati mempelawa kanak-kanak tersebut menaiki kenderaan miliknya.
“Saya pun buka tingkap. Saya senyum. Nak naik tak? Naiklah jap.
“Naiklah beberapa orang kanak-kanak. Kagum mereka. Ada yang pegang kerusi, ada yang sentuh panel skrin yang menyala. Ada yang diam saja tengok,” katanya.
Meskipun hanya beberapa minit diberi peluang merasai kenderaan mewah tersebut, raut wajah anak-anak kecil itu jelas terpancar kegembiraan dan keterujaan.
“Saya buka pintu. Mereka semua keluar dan ucapkan terima kasih.
“Tak sampai lima minit tapi cukup untuk menghiburkan. Masing-masing menjerit kat luar seronok rasa,” luahnya.
Situasi yang baru terjadi itu membuatkan Abu Hurairah tersedar nikmat yang diberikan oleh Allah tidak selamanya menjadi milik kita.
“Setiap apa yang ada, Tuhan memberitahu bukan milik kita, satu hari nanti Dia juga akan menguji mengambil semula segala milikNya,” akhirinya.
Perkongsiannya itu nyata meraih perhatian netizen yang rata-ratanya memuji tindakan lelaki itu sebagai sesuatu yang mulia.
“Terima kasih tat (ustaz). Sebak pulak bila kita ambil hati anak-anak ni mesti jadi memori indah untuk anak tu. Mesti dia akan ingat dan jadikan inspirasi kata-kata tat,” komen netizen.
“Nikmatnya sebuah perkongsian… Semoga menjadi pendorong kepada anak-anak untuk belajar rajin-rajin,” tulis netizen.
“Allahu Akbar… Moga Allah membalas kebaikan kerana memberi dan kongsi sedikit nikmat pada insan lain… aminn,” ucap netizen.