PUTRAJAYA: Kaedah pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengikut Income Contingent Loan (ICL) yang dilaksanakan secara pemotongan gaji automatik menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) adalah cadangan yang praktikal dan tidak membebankan peminjam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehingga Mei lalu jumlah pinjaman PTPTN yang masih belum dibayar berjumlah RM66.9 bilion.
Beliau berkata, perkara ini menjadi antara cabaran terbesar kerajaan bagi menjamin pendidikan secara berterusan, sekali gus membolehkan lebih ramai rakyat yang berdepan kesukaran dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, dengan kadar bayaran balik pinjaman amat rendah, kerajaan bimbang dengan kelestarian PTPTN untuk jangka panjang.
“Sekiranya jumlah pinjaman ini dibayar, ia boleh membiayai kira-kira 2.5 juta pelajar baharu,” katanya dalam ucapan dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Majlis Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri PendidikanTinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalannya, Mohammad Yusof Apdal.
Sebelum ini, Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) mencadangkan kaedah ICL ini diperkenalkan bagi pembayaran balik pinjaman PTPTN.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 14 Oktober hingga 31 Mac 2024.
Diskaun sebanyak 10 peratus akan diberikan ke atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman, selain memberikan 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.
Selain itu, diskaun 15 peratus diberikan untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual.
Anwar berkata, pemotongan gaji secara ICL ini tidak membebankan peminjam dan menyediakan insentif kepada individu dan majikan bagi membuat pembayaran balik.
Katanya, ia juga akan menggalakkan lebih ramai peminjam melaksanakan tanggungjawab sivik mereka kepada anak bangsa yang ingin menyambung pengajian tetapi tidak berkemampuan.
Sementara itu Mohamed Khaled berkata, sepanjang tiga bulan berakhir Julai lalu, seramai 200 peserta mewakili 115 organisasi terbabit dalam pasukan NRC mengadakan proses semakan membabitkan penelitian ke atas pelbagai akta dan kerangka perundangan, kertas dasar, pelan strategik serta garis panduan berkaitan pendidikan tinggi.
Katanya, sebanyak 874 isu dikenal pasti pada peringkat awal dan selepas diteliti serta diperhalusi, sebanyak 58 cadangan penambahbaikan utama dibentangkan kepada kementerian.
“Semua saranan ini masih belum dimuktamadkan,” katanya. – Berita Harian