HomeBeritaBayi lapan bulan maut selepas ditinggal 10 jam dalam kereta

Bayi lapan bulan maut selepas ditinggal 10 jam dalam kereta

CYBERJAYA: Seorang bayi berusia lapan bulan meninggal dunia akibat ditinggal lebih lapan jam di dalam sebuah kereta.

Menerusi hantaran tular di aplikasi X, seorang pegawai perubatan (MO) dipercayai tertinggal bayinya seorang diri di dalam kereta sejak 7.30 pagi.

Menurut sumber, selepas jam empat petang barulah pegawai terbabit menyedari mengenai anaknya yang masih berada di dalam kereta.

Lebih menyayat hati, bayi terbabit yang sudah berubah menjadi warna biru dan akhirnya meninggal dunia di tempat kejadian.

“Berita sedih petang ni, one of Medical Officer (MO) in our hospital mai kerja pagi pukul 7.30 pagi.

“Pukul empat petang baru sedar anak umur lapan bulan tertinggal dalam kereta kat staff parking.

“Baby dah biru. Bawa ke kecemasan, CPR semua, baby memang dah meninggal,” kongsinya.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, terdahulu pegawai perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HTCM) menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 5.53 petang.

Beliau berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada hari sama.

“Hasil siasatan awal mendapati pada jam 7.20 pagi, ibu mangsa meletakkan bayinya di tempat duduk belakang penumpang sebelah kiri dalam kereta untuk dihantar ke Taska.

“Bagaimanapun, ibu mangsa terus memandu keretanya ke tempat kerja dengan anggapan mangsa sudah dihantar ke Taska,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zam Halim berkata, ibu mangsa hanya menyedari bayi itu masih berada di dalam kereta pada petang hari sama selepas dimaklumkan oleh suaminya bahawa mangsa tidak dihantar ke Taska.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, boleh menghubungi Hotline Polis Cheras melalui talian 03-9284 5050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau mana-mana balai polis berdekatan,” tambahnya.

Author

Pilihan Editor