HomeBeritaPolitik'Pahang mungkin serambi Mekah 2.0, tapi kenapa tak keluar fatwa haram undi...

‘Pahang mungkin serambi Mekah 2.0, tapi kenapa tak keluar fatwa haram undi BN-PH?’

CYBERJAYA: Kurang lagi tempoh 24 jam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai bakal berakhir, ahli politik dilihat sempat lagi ‘membahan’ antara satu sama lain di media sosial.

Ini termasuk mengungkit semula isu lama yang melibatkan pemimpin parti lawan.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bertindak menyindir Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu fatwa haram memberi undi kepada calon parti lawan.

Perkara itu dibangkitkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu selepas Muhyiddin mendakwa bahawa, PN boleh mengambil alih pentadbiran negeri Pahang sekiranya memenangi PRK di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Pada masa sama, bekas Perdana Menteri itu turut memberi bayangan bahawa Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man akan menjadi Menteri Besar Pahang sekiranya ia menjadi realiti.

“Sudah tentu Pahang jadi serambi Mekah 2.0 kerana Menteri Besar adalah Timbalan Presiden PAS. Pahang juga akan jadi negeri Islam.

“Hairan juga Muhyiddin tidak keluar fatwa mengundi BN-PH (Barisan Nasional-Pakatan Harapan) hukumnya haram kerana ia akan menghalang Pahang jadi negeri Islam,” sindirnya pada Khamis.

Tangkap layar hantaran di laman Facebook Mohd Puad.

Sebelum ini, Muhyiddin menafikan ada mengeluarkan fatwa hukum syarak bahawa haram mengundi calon PH, Suhaizan Kayat ketika PRK Parlimen Pulai.

Beliau mendakwa, ada pihak yang memanipulasi dan mengambil ucapannya di luar konteks.

Sehubungan itu pihak polis menjalankan siasatan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), selepas menerima beberapa laporan polis berhubung kenyataan itu.

Author

Pilihan Editor