HomeBeritaBelanjawan 2024: Golongan miskin tegar dapat rebat elektrik RM40 sebulan

Belanjawan 2024: Golongan miskin tegar dapat rebat elektrik RM40 sebulan

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk meneruskan pemberian rebat bil elektrik sehingga RM40 sebulan kepada isi rumah miskin tegar dengan peruntukan RM55 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bayaran deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri akan dikecualikan.

Menurutnya, pemberian subsidi elektrik secara pukal sangat membebankan dan lebih menguntungkan golongan kaya.

Jelasnya, trend pada 2022 menunjukkan bahawa 10 peratus pelanggan dengan penggunaan elektrik tertinggi menikmati 50 peratus subsidi, sedangkan 50 peratus pelanggan dengan penggunaan elektrik terendah hanya menikmati 10 peratus subsidi.

“Maka sebab itu, bermula tahun ini, kerajaan telah melaksanakan subsidi bersasar dengan melepaskan sebahagian subsidi bagi 10 peratus penggunaan elektrik tertinggi tetapi pada masa sama, mengekalkan subsidi yang sama bagi 90 peratus pengguna.

“Pendekatan bersasar ini telah dapat menjimatkan lebih RM4.6 bilion daripada unjuran
subsidi elektrik RM20 bilion.

“Namun, kerajaan masih menanggung subsidi elektrik 16 bilion ringgit untuk tahun 2023 khususnya bagi pengguna di rumah serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS),” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 atau Belanjawan 2024 bertemakan “Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat, di Dewan Rakyat di sini pada Jumaat.

Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga berhasrat untuk merasionalisasikan subsidi diesel secara berfasa bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan bahan api diesel.

Secara konsepnya, Anwar menambah harga diesel bersubsidi akan terus dinikmati oleh pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barangan.

“Sementara pengguna lain akan dikenakan harga yang lebih tinggi. Dengan pendekatan tersebut, ia dapat mengurangkan ketirisan subsidi tetapi pada masa yang sama, mengurangkan impak kepada harga barangan untuk rakyat.

“Menurut data penggunaan, jualan diesel bersubsidi meningkat sehingga 40 peratus sejak 2019 sedangkan jumlah kenderaan menggunakan diesel hanya meningkat kurang tiga peratus.

“Ini bermakna, wujud kemungkinan aktiviti penyeludupan yang serius akibat harga diesel Malaysia yang terlalu murah,” tambahnya.

Author

Pilihan Editor