KUALA LUMPUR: Sebanyak 700 ribu penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerima RM100 ringgit sebulan untuk tempoh 12 bulan menerusi bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu akan dikreditkan ke dalam myKad dan penerima boleh menggunakannya di kedai-kedai runcit untuk membeli keperluan asas.
Menurutnya, inisiatif itu juga diteruskan susulan cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang yang nyata membebani rakyat khususnya bagi golongan isi rumah berpendapatan rendah.
“Tahun ini, kita telah perkenalkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan mengkreditkan ke dalam myKad 200 ribu penerima STR sebanyak RM100 sebulan untuk tempoh enam bulan.
“Melalui SARA, penerima hanya perlu ke kedai-kedai runcit untuk memberi keperluan asas hanya dengan menggunakan myKad.
“Mengambil kira maklum balas yang amat baik, Kerajaan memutuskan untuk meluaskan manfaat SARA kepada 700 ribu penerima STR yang akan menerima RM100 sebulan untuk tempoh 12 bulan,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 atau Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat bertemakan “Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Menteri Kewangan itu turut memaklumkan bahawa permohonan baharu bagi STR 2024 akan dibuka seawal November 2023.
“ STR 2024 akan mengambil pendekatan berbeza iaitu Kerajaan akan membuka permohonan baharu seawal November 2023 dan permohonan akan dibuka sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.
“Insya-Allah, bayaran pertama sehingga 500 ringgit akan dibuat pada bulan Februari 2024,” maklumnya.
Terdahulu, Anwar memaklumkan pemberian STR akan memanfaat 9 juta penerima atau 60 peratus daripada penduduk dewasa Malaysia.
Peruntukan STR meningkat sebanyak 2 bilion ringgit atau 25 peratus iaitu daripada 8 bilion ringgit kepada 10 bilion ringgit manakala kadar maksimum STR turut meningkat daripada RM3,100 kepada RM3,700.