KUALA LUMPUR: Semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak akan menerima insentif sebanyak RM2,000 menerusi Belanjawan 2024.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua jawatan utama sektor awam melibatkan anggota polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform juga akan menerima RM1,000.
Pada masa sama, Anwar yang juga menteri Kewangan berkata, sebanyak RM1,000 turut diberikan kepada semua pesara kerajaan, termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.
Beliau berkata, insentif itu diberikan sementara menunggu Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dijangka dapat dimuktamadkan penghujung tahun hadapan.
Jelasnya, bayaran itu akan dibuat secara sekali gus pada akhir Februari 2024 bagi meringankan beban persediaan persekolahan anak-anak serta persiapan menjelang bulan Ramadan dan Syawal.
“Kerajaan sedang menyemak semula skim gaji dan elaun tetap penjawat awam yang kali terakhir dilaksanakan pada tahun 2012.
“Sementara menunggu kajian ini lengkap, sukacita diumumkan, kerajaan bersetuju untuk memberi Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM1,000 kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam melibatkan semua termasuk polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.
“Bayaran insentif RM1,000 turut dipanjangkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat di sini pada Jumaat.
Perdana Menteri turut menyarankan majikan swasta untuk turut sama mengkaji kesesuaian saraan serta ganjaran kepada pekerja, dengan mengambil kira cabaran kos sara hidup semasa.
“Tahun hadapan, kerajaan akan mula mempergiat sesi libat urus. Saya menyeru untuk pihak swasta untuk memberi ganjaran terutama syarikat yang mempunyai keuntungan yang munasabah,” katanya.