HomeBeritaBerubah atau anda akan diubah, amaran Shuhaily kepada pegawai polis

Berubah atau anda akan diubah, amaran Shuhaily kepada pegawai polis

PETALING JAYA: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman memberi amaran terhadap semua ketua-ketua jabatan siasatan jenayah di setiap daerah di seluruh negara berhenti bersekongkol dengan sindiket jenayah atau mereka akan ditukarkan selain tidak disokong untuk dinaikkan pangkat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, terdapat banyak kepincangan membabitkan jabatan siasatan jenayah sehinggakan ada sarjan boleh memiliki kenderaan Alphard, Vellfire dan Mercedes.

Menurut beliau, walaupun perkara itu berlaku namun pegawai atasan kepada sarjan itu tidak kisah kerana `bos’ turut melakukan perbuatan sama.

“Sebab itu ada antara pegawai dan anggota di bawah penyeliaan anda buat benda merapu-rapu, sebab apa, sebab bosnya sendiri tak ambil port (tak ambil peduli). Bukan setakat tak ambil tahu malah bos pun sama.

“Pergi beli kereta mewah berdua, kau ambil nombor ini, aku ambil nombor ini. Pergi dengan sarjan. Ada tak berlaku? Senyap. Sebab ini memang berlaku dalam pasukan,” kata beliau dalam Majlis Amanat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, semalam.

Majlis tersebut dihadiri Ketua-Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Kontinjen dan Ketua-Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) seluruh negara.

Oleh itu, kata beliau, perbuatan mengkhianati pasukan dan negara itu harus diberhentikan kerana jika berterusan akan wujud situasi pegawai polis yang sanggup membunuh antara satu sama lain disebabkan wang yang tidak seberapa.

“Perkara ini juga berlaku disebabkan tiada penyeliaan di bawah (peringkat kontinjen dan daerah) untuk memantau dan melihat cara hidup pegawai dan anggota bawahan mereka,” katanya.

Klip video majlis itu yang dimuat naik di Facebook rasmi PDRM yang menunjukkan Shuhaily berkata, penyeliaan pegawai atau penyelia atasan adalah sebahagian daripada arahan penugasan PDRM.

Susulan amaran keras tersebut video Shuhaily tular di media sosial.

Oleh itu, kata Shuhaily, beliau mahu semua pegawainya berubah atau berdepan tindakan `diubah’ selain tidak akan memberi sokongan kenaikan pangkat.’

“Ini sebab mereka tidak layak diberi tanggungjawab menyelia orang lain dengan pangkat lebih tinggi sedangkan dengan pangkat sedia ada pun anda gagal,” katanya. – Utusan

Author

Pilihan Editor