KUALA LUMPUR: Nilai bidaan jam tangan Rolex kesayangan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri kini mencecah RM131,000.
Zulkifli berkongsi nilai terkini bidaan itu menerusi hantaran di Facebook (FB) dan ruangan Instagram (IG) Story miliknya jam 9.25 pagi hari ini.
Angka itu masih tidak berganjak sehingga jam 6 petang tadi.
Bidaan masih dibuka dengan kenaikan RM100 ke atas dan akan ditutup jam 12 tengah malam ini.
Peluang masih terbuka untuk yang berminat membeli jam berkenaan dan bidaan boleh dibuat dengan menulis harga ditawarkan di ruangan komen.
Setakat ini, rata-rata pengikut Zulkifli menyambut baik inisiatifnya melelong jam berkenaan.
Tambahan pula, hasil jualan nanti akan didermakan sepenuhnya untuk kebajikan rakyat yang menderita di Palestin.
Semalam, Zulkifli menerusi hantaran di FB dan IG menceritakan kisah di sebalik jam berkenaan yang dihadiahkan oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz.
Menurut Zulkifli, jam itu dihadiahkan sebagai cenderamata buatnya.
Katanya, kotak jam itu hanya dibuka selepas meletak jawatan sebagai Menteri pada 2021. – Harian Metro