HomeHiburanBoleh tayang badan tapi bukan sampai penonton ghairah - Beto Kusyairy

Boleh tayang badan tapi bukan sampai penonton ghairah – Beto Kusyairy

“Pengarah perlu berikan alasan kenapa memerlukan saya tidak berbaju. Jika alasannya kukuh dan selagi tidak melanggar sensitiviti, saya akan bersikap profesional sebab saya seorang pelakon,”.

Demikian yang diungkap pelakon, Beto Kusyairy ketika diajukan soalan sekiranya diminta untuk tidak berbaju dalam sesebuah naskhah.

Beto atau nama sebenarnya Nur Kusyairy Zakuan Osman, 43, berkata, dia akan menilai terlebih dahulu tahap kerelevanan sesuatu babak yang memerlukannya berbuat sedemikian.

“Saya akan nilai dahulu keperluan sesuatu babak tetapi tidaklah sampai keterlaluan sehingga membuatkan penonton ghairah.

“Tetapi kalau saja-saja nak ‘menjual’ atau umpan penonton saya tak mahu.

“Mungkin boleh ambil pelakon lain yang lebih sesuai. Saya ni dahlah berwajah Jawa,” katanya memetik HibGlam.

Beto yang turut tampil dalam siri adiwira, Super Wira arahan Ghaz Abu Bakar itu turut menyatakan dia seorang yang gemar akan sesuatu yang realistik.

Ditanya mengenai kesanggupannya membentuk badan agar tampak sasa, Beto berkata perkara perkara tersebut memerlukan komitmen yang tinggi.

“Saya suka benda yang realistik. Kalau sesuai dengan karakter, saya tiada masalah untuk bina badan.

“Namun, saya perlu masa kerana perkara itu melibatkan komitmen yang tinggi.

“Sebenarnya bina badan hanyalah 10 peratus sahaja ke gim, selebihnya perlu menjaga diet,” ujarnya.

Super Wira merupakan siri adiwira pertama yang mempunyai banyak unsur tradisional Melayu seperti silat dan cerita rakyat Naga Tasik Chini.

Selain Beto, siri berkenaan turut dibintangi Nadhir Nasar, Idan Aedan, Mira Fizah, Zizan Razak dan Ezzaty Abdullah.

Super Wira bakal menemui penonton menerusi saluran Astro Ceria setiap Isnin, pukul 9 malam bermula 23 Oktober ini.

Author

Pilihan Editor