HomeGlobalDokumen bocor Zionis rancang halau 2 juta rakyat Palestin ke Mesir

Dokumen bocor Zionis rancang halau 2 juta rakyat Palestin ke Mesir

SEBUAH dokumen sulit yang membentangkan rancangan negara haram Israel untuk menghalau lebih dua juta rakyat Palestin dari Gaza ke Sinai, Mesir tersebar secara meluas di media sosial sejak Isnin.

Lapor Consortium News, dokumen itu pertama kali diterbitkan dalam bahasa Ibrani oleh laman web Sicha Mekomit.

“Dokumen penuh Kementerian Perisikan Israel diterbitkan di sini buat kali pertama, mencadangkan pemindahan paksa penduduk Genting Gaza ke Sinai secara kekal serta menyeru masyarakat antarabangsa untuk menyokong langkah itu,” tulis artikel di laman web tersebut.

Dokumen bertarikh 13 Oktober itu turut mencadangkan orang ramai mempromosikan ‘kempen berdedikasi’, bertujuan memotivasikan penduduk Gaza supaya bersetuju dengan rancangan tersebut.

Menurut dokumen itu lagi, tindakan menghalau penduduk Palestin ke Sinai dibuat supaya mereka dapat melakukan pembinaan bandar kekal serta pembukaan koridor kemanusiaan.

Pelan itu termasuk pembinaan ‘steril’ sebagai zon penampan di Mesir bagi memastikan mereka tidak dapat menetap di sempadan negara haram.

Dokumen itu turut menegaskan bahawa, mesej kepada penduduk Gaza harus berkisarkan tentang kehilangan tanah dan dalam erti kata lain, mereka tiada lagi harapan untuk kembali ke wilayah yang akan diduduki Israel dalam masa terdekat.

“Allah pastikan anda (penduduk Gaza) kehilangan tanah ini kerana kepimpinan Hamas (Pergerakan Perjuangan Islam Palestin). Tiada pilihan selain berpindah ke lokasi lain dengan bantuan saudara Muslim anda,” menurut dokumen itu.

Ia merupakan mesej biadab bagi menghalau rakyat Palestin keluar dari Gaza serta sebahagian daripada jenayah terancang Israel.

Menurut Institut Maklumat Undang-Undang di Cornell Law School, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) boleh mengambil tindakan atas jenayah tersebut.

ICC kini sedang menyiasat kemungkinan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Israel dan Palestin.

Menurut Sicha Mekomit, Israel menyedari bahawa jenayah antarabangsa itu akan merosakkan reputasi negara haram tersebut.

Namun, dokumen itu mendakwa, lebih banyak kematian akan berlaku sekiranya rakyat Palestin kekal menetap di Genting Gaza.

Menurut dokumen itu lagi, ini seterusnya akan lebih merosakkan imej Israel berbanding pengusiran penduduk Palestin.

Oleh sebab itu, Kementerian Perisikan mencadangkan untuk mempromosikan pemindahan paksa semua rakyat Palestin dari Gaza ke Sinai secara kekal.

Kebanyakan penduduk Gaza sudah menjadi pelarian atau keturunan pelarian, selepas penduduk haram Israel mengusir mereka sejak tahun 1948.

Pada bulan ini sahaja, rejim pengganas Israel mengerah dan memaksa lebih 1.1 juta rakyat Palestin untuk keluar dari Gaza.

Setakat ini, lebih 8,306 rakyat Palestin terkorban termasuk lebih 3,457 kanak-kanak, manakala lebih 18,000 yang lain cedera sejak negara itu diserang rejim Zionis pada 7 Oktober lalu.

Nyawa rakyat Palestin di Gaza kini tidak hanya terancam, malah rejim Zionis bertindak menyeksa kesihatan mental dan fizikal mereka menerusi sekatan bekalan keperluan asas seperti makanan, air dan elektrik.

 

Author

Pilihan Editor