SEORANG kanak-kanak lelaki bertindak menambat lengannya pada lengan adik perempuannya dengan seutas tali, bagi memastikan keselamatan mereka berdua di sebuah hospital.
Lapor South China Morning Post, perkara itu dilakukan sementara menunggu ibu mereka menjalani pemeriksaan kesihatan selepas didakwa didera.
Ibu mereka yang dikenali sebagai Xiaoyu, membawa dua beradik itu ke sebuah hospital di wilayah Yunnan, dekat barat daya China pada lewat malam.
Xiaoyu mendakwa, dia cedera akibat diserang oleh suaminya di hadapan kedua-dua kanak-kanak tersebut.
Dia dan suaminya dilapor tinggal berasingan sejak Mei, sebelum dia memfailkan perceraian awal bulan ini.
Sebelum menjalani pemeriksaan, Xiaoyu meminta kanak-kanak yang berusia 8 tahun itu untuk menjaga adiknya berusia 3 tahun, yang tertidur di atas bangku di pusat kesihatan tersebut bagi mengelakkan mereka diculik.
Apabila wanita itu selesai menjalani pemeriksaan, dia berasa sedih selepas mendapati anak lelakinya juga tertidur sambil memegang seutas tali mainan, yang diikat pada pergelangan tangan anak perempuannya.
Susulan itu, wanita tersebut merakam dan menyiarkan detik-detik menyedihkan itu di laman TikTok pada 17 September.
Mei lalu, dia memutuskan untuk meninggalkan suaminya dan mencari perlindungan bersama anak-anaknya di rumah kakaknya di wilayah Zhejiang, dekat timur China.
Video dia mengucapkan selamat tinggal kepada anak-anaknya sambil mengesatkan air mata dan memberitahu tidak mampu menjaga mereka juga menjadi tular ketika itu.
Beberapa hari kemudian, Xiaoyu menyewa sebuah rumah berhampiran anak-anaknya kerana tidak tahan berada jauh dari mereka.
Wanita itu berkata, dia sudah pun mendapat hak penjagaan ke atas kedua-dua anaknya.
Kini, dia mula bekerja sebagai penghantar makanan dan jurujual secara atas talian.