HomeBeritaEmpat individu halang usir petani di Kanthan dibebaskan semula

Empat individu halang usir petani di Kanthan dibebaskan semula

CYBERJAYA: Empat individu yang ditahan kerana cuba menghalang pengusiran petani di Kanthan, di Tambun, Perak sudah pun dibebaskan pada Selasa malam.

Individu tersebut adalah Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar; ahli jawatankuasa PSM, R Karthiges; anggota Pemuda PSM Perak, P Kesavan’ dan seorang petani, Ho Pon Tien.

“Pembebasan itu dibuat setelah diambil keterangan di Ibu Pejabat Daerah (IPD), Ipoh, Perak,” tulis PSM menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, aktivis PSM, Chong Yee Shan mengalami kecederaan di mulut dan hidungnya selepas mendakwa ditolak oleh anggota Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak berhampiran sebuah ladang di Kanthan, Tambun.

Ini selepas petani dan aktivis berkenaan cuba menghalang mereka yang datang ke lokasi dengan jentolak dan jengkaut untuk mengusir enam petani.

Susulan itu, PSM menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim supaya campur tangan bagi menyelamatkan petani yang berdepan pengusiran paksa di kawasan parlimennya.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan dilapor berkata, seorang pegawai dari pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Tambun yang berada di tapak itu cuba untuk mendapatkan lebih banyak masa dan menangguhkan pengusiran tersebut, namun tidak berjaya.

Kira-kira 200 petani dan pekebun terlibat dalam sektor berkenaan di Kanthan, yang dianggap sebagai satu-satunya kawasan pengeluaran sayur-sayuran terbesar di negeri ini.

Keenam-enam petani yang berdepan dengan pengusiran pada Selasa menerima notis bertarikh 13 Oktober, yang memaklumkan bahawa ladang mereka terletak di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan diarah mengosongkan tapak itu dalam tempoh seminggu.

Para petani bersetuju untuk mematuhi arahan itu namun memohon jasa kerajaan negeri agar menawarkan tanah alternatif, memandangkan mereka telah lama bekerja di ladang.

 

Author

Pilihan Editor