SEORANG lelaki bukan sahaja bertindak merompak sebuah kedai serbaneka, malah turut mencederakan kakitangan di premis tersebut.
Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), perompak berkenaan dilihat membakar rambut seorang kerani dengan cecair pemetik api yang dicuri, selepas rompakannya dihalang.
Video tersebut turut memaparkan mangsa yang hanya dikenali sebagai Suraj bergelut dengan suspek, Kendall Burton.
Suspek kemudian dilihat menyiram kepala Suraj dengan cecair itu sebelum menyalakan api dalam kejadian di El Sobrante dekat Bay Area, California pada Ahad.
Dalam video sama, seorang lagi pekerja bergegas menyelamatkan Suraj apabila mencuba memadamkan api di kepalanya dengan sebatang kayu besbol.
“Saya cuba menghalang suspek tetapi tidak tahu caranya dan saya tidak ingat. Dia hanya menyalakan api pada saya.
“Saya kemudian bergegas ke tandas menyimbah air ke kepala saya,” katanya seperti dilapor New York Post.
Suraj yang sudah lima tahun bekerja di premis itu berkata, dia dan pekerja lain pernah berdepan dengan kes rompakan sebelum ini, namun tidak pernah dengan mengalami kejadian teruk seperti itu.
Sebelum ini, rakan sekerjanya pernah memberi amaran bahawa, suspek sudah beberapa kali berkunjung ke premis itu bagi cubaan mencuri cecair pemetik api.
“Saya sangat takut ketika dia menyimbah cecair itu pada muka saya,” kata Suraj.
Suraj melecur tahap kedua dan ketiga di muka, leher, dada dan bahunya.
Kerani itu telah dirawat di hospital dan memerlukan beberapa pembedahan selepas serangan mengerikan itu.
Dia menegaskan bahawa kejadian itu menyebabkan dirinya dan keluarganya mengalami trauma.
Sementara itu, isteri Suraj yang dikenali sebagai Sabeena sedang mengumpul dana bagi penjagaan fizikal dan mental suaminya menerusi laman GoFundMe.
Burton, 38, sudah pun ditahan pihak berkuasa tanpa sebarang jaminan, berikutan tidak mengendahkan keselamatan nyawa manusia.
Suspek yang juga gelandangan itu berdepan beberapa pertuduhan termasuk melakukan serangan dengan senjata, menyebabkan kebakaran dan rompakan.