MEMPELAJARI ilmu sains bukanlah suatu perkara yang mudah bagi semua orang, lebih-lebih lagi jika subjek itu diajar oleh seorang guru yang sekadar merujuk bacaan dalam buku teks semata.
Namun, berbeza buat pelajar di sebuah sekolah yang terletak di wilayah Jiangxi, China yang merasai pengalaman belajar sains seperti berada dalam kelas ‘Harry Potter’!
Lapor Sixth Tone, seorang guru bernama Xia Zhendong, 30, menjadi perhatian di China apabila subjek mata pelajar Fizik yang diajarnya kelihatan menyeronokkan.
Perkara itu berikutan banyak eksperimen menarik dilaksanakan Zhendong bersama para pelajarnya menggunakan pelbagai jenis barang mudah dapat seperti belon, tayar, botol kaca dan sebagainya.
Malah, banyak eksperimen yang dihasilkan berdasarkan gabungan teori dan pengetahuan luar menjadi ibarat pertunjukan silap mata.
“Apabila kita bercakap tentang elektrik, ia sangat abstrak.
“Saya mahu pelajar saya sedar bahawa pengetahuan itu bukan hanya dalam buku teks sahaja.
“Saya mahu pelajar saya ketahui keseronokan fizik dan gambarkan pengetahuan itu,” katanya ketika ditemubual Daily Tones.
Menurut Zhendong, kaedah pengajaran yang diterapkannya terhadap para pelajarnya adalah sama seperti kaedah yang digunakan oleh guru Fizik beliau sebelum ini.
Zhendong turut berkongsi video sesi eksperimen yang dilakukan bersama para pelajarnya dalam platform media sosial sekali gus menawan hati warga net untuk turut mempelajari Fizik.
Malahan, warga net turut melabelkan Zhendong ibarat guru Fizik dari ‘Hogwarts’ yang membuatkan sesuatu yang sukar diterangkan menjadi seakan hidup di dunia nyata.
“Jika Fizik adalah tingkap untuk ke dunia, maka saya berminat untuk jadi salah seorang yang membuka tingkap itu,” ujarnya.