ULANG tahun kelahiran seseorang yang kebiasaannya disambut pada setiap tahun sepatutnya menjadi hari bahagia.
Ia merupakan hari kesyukuran menandakan individu tersebut masih diberi peluang untuk dipanjangkan umur.
Namun, hari kelahiran seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun bertukar menjadi mimpi ngeri apabila didera oleh seorang guru taska.
Lapor South China Morning Post, kejadian malang itu bermula apabila guru tersebut menyuapkan lebih banyak labu ke dalam mulut kanak-kanak itu, meskipun mangsa sudah selesai makan tengah hari.
Kanak-kanak itu kemudian tidak sengaja memuntahkan makanan tersebut akibat terlalu kenyang sebelum dipaksa memakan muntahnya sendiri.
Sementara itu, ibu bapa kanak-kanak tersebut memfailkan aduan dan menuduh guru tersebut mendera anak mereka.
Mereka mendakwa, penyakit yang dihidapi kanak-kanak itu berpunca apabila dipaksa memakan labu ketika perut kenyang.
Malah, kanak-kanak itu yang berpakaian baharu untuk menyambut menyambut majlis hari jadinya pulang dengan pakaian kotor.
Justeru, mereka meminta taska itu untuk menunjukkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) untuk membuktikan kes dera berkenaan.
Namun, pihak taska tidak memberikan akses rakaman itu sehingga pihak polis campur tangan.
Selepas siasatan dijalankan, pejabat pendidikan menerusi laman WeChat rasminya mengesahkan perkara itu berlaku di Tadika Maluwan di wilayah Liaoning, di Timur Laut China pada 13 Oktober lalu.
Lantaran itu, pejabat pendidikan menggesa supaya guru tersebut dipecat daripada taska tersebut, selain meminta sekolah berkenaan membuat permohonan maaf kepada ibu bapa mangsa.
Malah, pejabat itu juga menyarankan pengetua untuk merombak semula struktur kakitangan taska, manakala ranking sekolah juga sudah diturunkan.